Siapa sebenarnya hantu? - ceritaejoy

Siapa sebenarnya hantu?

5:14 PTG

Ish. Semacam je tajuk entry aku ni kan. Aku nak cakap berani, takda la berani sangat, tetapi selalu dok tertanya-tanya, yang orang selalu dok cerita pasal hantu-hantu ni, siapa sebenarnya hantu? Sebab hantu tak diceritakan langsung di dalam al-quran, jadi bagaimana boleh muncul cerita-cerita hantu ni. Itu yang membuatkan aku mencari siapa sebenarnya hantu ni.

Ia sebenarnya, bukanlah hantu, tetapi ia adalah Iblis, jin dan syaitan. Malah, mempercayai kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam rukun Iman yang wajib diimani. Ini kerana kewujudan Iblis, jin dan syaitan disebut secara jelas di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah walaupun manusia tidak dapat melihatnya.

Ini bermakna mempercayai kewujudan kedua-duanya termasuk dalam beriman kepada Allah, Kitab dan Rasul.

Firman Allah SWT dalam surah al-Zariyat ayat 56:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”.

Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 50 yang menjelaskan tentang asal usul syaitan dan Iblis: 

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim; pengganti yang mereka pilih itu”.

Manakala firman Allah SWT dalam surah al-A‘raf ayat 27 pula menjelaskan tentang sifat jin dan syaitan itu yang ghaib dan tidak boleh dilihat oleh manusia. Firman Allah SWT:

 “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”

Jadi, bagaimana munculnya hantu jika jin,iblis dan syaitan tidak mampu dilihat oleh mata manusia? Ini penerangannya.

Al-Qadhi Abu Ya’la Muhammad bin al-Husain bin al-Farraa’ berkata: 

“Tidak ada kemampuan bagi syaitan untuk mengubah penciptaan mereka dan berubah bentuk. Namun Allah boleh sahaja mengajarkan kepada mereka beberapa kalimat dan perbuatan di mana jika ia mengucapkan kalimat tersebut atau melakukan perbuatan-perbuatan tersebut Allah SWT akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. Dikatakan: Syaitan mampu untuk mengubah bentuk dan membuat khayalan dengan maksud bahawa ia mampu untuk satu perkataan yang jika ia mengatakannya atau melakukannya maka Allah akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain sesuai dengan kebiasaan yang berlaku. Adapun jika ia mengubah dirinya sendiri, maka hal itu mustahil, kerana berubah dirinya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain akan menguraikan struktur dan merombak bahagian-bahagiannya. Apabila hal itu terjadi, maka musnahlah kehidupan”. 

Aakaam al-Marjaan, hal. 19.

Persoalan yang sering bermain difikiran aku adalah, mampukah ia memudaratkan manusia? Macam-macam cerita yang kita dengar, adakah ia betul? Ini penerangannya:

Iblis, jin dan syaitan yang menjadi hantu itu tidak sekali-kali mempunyai kuasa untuk memudaratkan manusia. Sesungguhnya manfaat dan mudarat adalah hak mutlak yang datang daripada Allah SWT. Kerana itulah Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita al-mu’awwizat yang berupa ayat-ayat al-Qur’an seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas yang mampu untuk memelihara diri kita daripada gangguan jin dan syaitan.

Jika manusia dicipta Allah sesempurna makhluk, ini bermakna manusia punya taraf yang lebih tinggi daripada mereka. Jadi, perlukah kita takut kepada mereka?

Al-Hafiz Abu Bakr Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman al-Baghandi berkata: Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Bakkar bin Abi Maimunah: Telah menceritakan kepada kami Ghiyath, dari Husain, dari Mujahid, beliau berkata: 

“Syaitan senantiasa menampakkan diri kepadaku saat aku berdiri melaksanakan salat dalam bentuk atau rupa Ibnu ‘Abbas. Lalu aku teringat perkataan Ibnu ‘Abbas sehingga selalu mempersiapkan pisau di sisiku. Satu saat, ia (syaitan) kembali menampakkan diri kepadaku, lalu aku serang dan aku tusuk ia sehingga mengenainya. Ia pun jatuh tersungkur. Setelah itu, aku tidak pernah melihatnya lagi”.

Aakaam al-Marjaan, hal. 166.

Menerusi riwayat ini, dapat difahami bagaimana golongan salafussoleh tidak pernah menjadikan ‘hantu’ sebagai sesuatu yang ditakuti. Malah Iblis, jin dan syaitan hanyalah makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kelebihan jika dibandingkan dengan iman dan taqwa yang menjadi pakaian mukmin.

Persoalannya sekarang, anda masih takut dengannya? Jika di tanya kepada aku, aku cuma akan menjawab:

" Tidak terlalu takut dan tidak terlalu berani"


Perkongsian artikel daripada http://walawey.rc.my/

You Might Also Like

0 comments

[Penafian] Segala perkongsian di dalam blog ceritaejoy ini adalah pendapat peribadi yang mahu dikongsikan bersama pembaca blog dan sebagai rujukan pemilik blog untuk kegunaan masa hadapan.

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab dengan penyalahgunaan artikel dari blog ceritaejoy dan sebarang komen dan pendapat yang diberikan pembaca blog samada secara positif atau negatif adalah dipertanggungjawabkan kepada pembaca sendiri.

Follow by Email