Duduk lama penyebab sakit belakang - ceritaejoy

Duduk lama penyebab sakit belakang

5:19 PTG



Aku kerja di bahagian pentadbiran. Jadi, bila sebut kerja di bahagian pentadbiran nie, kebanyakkan masa aku adalah di hadapan komputer. Dan sudah tentu aku mesti duduk. Sejak kebelakangan ini, aku kerap rasa sakit pada bahagian tulang belakang. Dan bila aku search dengan mr google, duduk terlalu lama ini boleh menyebabkan sakit belakang malah ianya boleh menjadi lebih serius! OHHH!

Aku kongsikan sedikit artikel dari utusan malaysia tentang perkara ini.

Tahukah anda duduk terlalu lama bukan sahaja menyebabkan tulang belakang anda mengalami masalah tetapi boleh meningkatkan risiko kematian?
Kajian yang dilakukan American Journal of Epidemiology mendapati duduk terlalu lama boleh meningkatkan risiko sakit belakang, atritis, obesiti, kerosakan postur badan, tekanan darah rendah dan penyakit jantung.
Dalam pada itu, sekumpulan penyelidik Australia mendapati individu yang menghabiskan masa selama 11 jam dengan duduk boleh meningkatkan risiko kematian sehingga 15 peratus.
Secara puratanya, individu dewasa menghabiskan 90 peratus waktu lapang mereka dengan duduk dan kurang separuh memenuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya melakukan aktiviti fizikal sederhana selama sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu.
Mereka yang tidak aktif atau duduk terlalu lama boleh menggandakan risiko kematian awal dalam tempoh tiga tahun berbanding mereka yang kurang duduk .
Sakit belakangPakar Perunding Pembedahan Ortopedik Tulang Belakang Pusat Perubatan Pakar Sri Kota Klang, Dr. John Ooi Tzen Chuong memberitahu, sakit belakang adalah kesan yang selalu dihadapi oleh mereka yang duduk terlalu lama.
Tambah Dr. John, kebanyakan kes sakit belakang di Malaysia berpunca daripada kerja yang memerlukan duduk terlalu lama seperti pemandu teksi, lori dan bas.
"Kebanyakan golongan ini mengadu sakit belakang dan saya mendapati mereka bekerja dengan cara duduk (memandu) dalam tempoh yang terlalu lama," ujarnya.
Katanya, 90 peratus sakit tulang belakang berpunca daripada kecederaan pada otot rangka yang kronik disebabkan tabiat posisi, ergonomik dan biomekanik.
Misalnya, sakit otot berpunca daripada postur duduk tidak betul dalam tempoh yang lama. Akibatnya, otot pada bahagian belakang berasa sakit disebabkan tekanan.
Bagi mereka yang bekerja di pejabat, keadaan kerusi dan meja perlu sesuai iaitu jangan terlalu rendah dan tinggi.
Sebaik-baiknya, mereka yang bekerja di pejabat mengambil inisiatif seperti melakukan regangan atau berdiri setiap dua jam.
"Kita boleh melakukan senaman ringan untuk kelegaan otot khususnya bahagian belakang. Pekerja-pekerja juga perlu diberi meja dan kerusi yang sesuai dengan ketinggian mereka ketika duduk.
Jika anda duduk terlalu rendah, tulang belakang akan membongkok, sebaliknya jika terlalu tinggi tulang belakang akan terlalu tegang. Sakit belakang yang teruk boleh membawa kepada masalah diska tergelincir," ujarnya.
Diska tergelincir adalah satu masalah kecederaan pada tulang lembut atau diska yang juga dikenali sebagai diska intervertebral.
Menurut Dr. John, masalah ini kerap berlaku pada peringkat umur 30 hingga 50 tahun dan mereka yang memandu lama (bekerja sebagai pemandu), perokok dan mereka yang obes.
Tambah beliau, bengkak pada diska akan menekan urat saraf di belakang. Keadaan menjadi lebih serius apabila ia pecah menyebabkan isinya atau nucleus polposus keluar dan menekan urat saraf. Ini menyebabkan sakit belakang teramat sangat apabila duduk lama.
Dr. John menjelaskan, rawatan sakit belakang termasuk masalah diska tergelincir bergantung kepada tahap kecederaannya seperti rehat sepenuhnya dengan berbaring untuk mengurangkan tekanan pada diska intervertebral.
Lain-lain termasuklah ubat-ubatan dan fisioterapi serta pembedahan untuk kes-kes yang teruk ataupun tidak pulih selepas dirawat.
Walaupun ada rawatan bagi sakit belakang, Dr. John menasihatkan agar orang ramai mengelak masalah ini dengan melakukan senaman, mendapatkan berat badan ideal dan berhenti merokok.
Obesiti dan penyakit lainKenapa dikatakan duduk terlalu lama dikaitkan dengan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti? Keadaan ini disebabkan mereka yang duduk lama dikaitkan dengan mereka yang tidak aktif.
Maknanya, tiada proses pembakaran lemak yang berlaku dan akan mengakibatkan peningkatan tahap kolesterol di dalam tubuh mereka.
Bayangkan selepas anda makan tengahari sama ada di rumah atau pejabat, anda akan berehat dengan duduk di hadapan televisyen atau menghadap semula komputer menghabiskan kerja.
Seperti yang diketahui umum, obesiti adalah punca penyakit lain seperti sakit jantung dan tekanan darah tinggi dan angin ahmar.
Oleh itu, Dr. John menggalakkan orang ramai mendapatkan berat badan ideal dengan melakukan senaman.
Katanya, masalah-masalah kesihatan akibat duduk terlalu lama boleh menyebabkan kurangnya produktiviti kerja kerana pekerja mula mengambil cuti sakit.
"Kadang-kadang kita tak dapat menghindar duduk terlalu lama kerana kerja kita memerlukan kita untuk duduk dalam kadar yang lama seperti pemandu bas ekspres atau lori, mahupun pekerja pejabat yang perlu menyiapkan tugasan yang banyak. Justeru, untuk mengurangkan risiko mendapat kesan sampingan, ambil peluang berehat seketika dan melakukan senaman kecil dengan menggerakkan sendi dan otot.
"Rasanya tidak ada masalah jika anda berehat atau bersenam lima hingga 10 minit," katanya.

sumber: utusan malaysia

You Might Also Like

0 comments

[Penafian] Segala perkongsian di dalam blog ceritaejoy ini adalah pendapat peribadi yang mahu dikongsikan bersama pembaca blog dan sebagai rujukan pemilik blog untuk kegunaan masa hadapan.

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab dengan penyalahgunaan artikel dari blog ceritaejoy dan sebarang komen dan pendapat yang diberikan pembaca blog samada secara positif atau negatif adalah dipertanggungjawabkan kepada pembaca sendiri.

Follow by Email